10.5.17

Hanya kerana hospitaliti kita tak jaga dan ambil mudah

Ketika ini jam sudah menunjukkan pukul 1:03 minit pagi. Aku baru saja selesaikan urusan pembersihan muntah anakku yang bongsu. Umurnya kini sudah menjangkau enam tahun.

Aku hairan pada diri sendiri mengapa aku mengherdiknya dan membentaknya ketika dia sedang berperang dengan batuknya kemudian setelah dua tiga kali batukan disusuli dengan luahan isi perutnya yang dipanggil muntah. Aku bertambah marah dan tidak dapat mengawal kemarahanku ini apabila batukan pertama beliau biasanya sudah memberikan petanda beliau akan muntah namun aku bingkas bangun lalu menyuruhnya ke tandas. Dia tak bergerak dan duduk saja. Kemudian batukan seterusnya terus muntah di tilam tempat tidurnya. Aku bingkas mengangkatnya ke bilik air dengan nada keras terus memarahinnya. Aku buka suis lampu. Kulihat dia menarik selimut menutup mukanya. Mustahil tidak terjaga. Sedangkan jiran mendengar jua aku rasa akan terbangun. Sementara aku mengelap muntahnya yang bertaburan di tilam. Anakku di bilik air sedang menguruskan muntahnya yang masih tersisa. Batuk masih kedengaran. Aku terus memarahi beliau. Mengherdiknya.. Entah aku tak faham apa sangat yang aku marahi.

Jam 7:15 malam tadi. Setibanya aku di rumah aku disambut oleh beliau dengan nada yang ceria. Beliau kelihatan gembira apabila aku pulang dari tempat kerja. Beliau menghulurkan tangan ingin mencium tanganku. Aku usap-usap kepalanya. Lalu aku tanya, adik dah makan? Dah. Makan telur ngan nasi. Tapi telur dah habis untuk ayah. Ayah pergilah dapur. Ayah makanlah.

Sambil itu aku lihat dia masih terbaring sambil di tangannya telefon genggam tanpa sepatah kata. Terus tersentuh jiwaku ini. Apa yang datang masuk ini tunggul. Apa aku ini orang asing. Dalam hati kecilku sambil menghulur tangan kepada anak-anak yang lain.

Lalu aku terus ke dapur. Membuka tudung saji. Ada sup ayam. Ulaman dan semangkuk budu. Aku layan diri sendiri. Ketika aku membuat suapan kedengaran suaranya dari depan. Tanya ayah nak telur tak? Kalau nak nanti abang gorengkan? Ibu penatla.. Anakku yang bongsu terus berlari ke belakang lalu menanyakannya kepadaku. Aku jawab tak apalah. Ayah makan apa yang ada je ni. Tak payah susah-susah. Aku terus melakukan suapan demi suapan. Menyendiri di dapur.

Kemudian terdengar ada orang memberi salam. Dia sudah bingkas bangun dan menjemput tetamu masuk. Sempat kujenguk dari dapur lalu kelihatan adik iparku lantas aku bersuara untuk menjemput makan sekali. Dia ke dapur untuk menyiapkan air untuk tetamu. Aku yang sedari tadi tidak dilayannya. Tetamu pula yang didahulukannya. Terus hati yang tersentuh tadi membengkak bagai selepas dicalar. Dengan segera aku selesaikan urusan makan. Aku bersiap-siap untuk mandi.

Seusai semua perkara. Tadi ada telefon mak. Mak Johor kirim salam. Dia kata sudah lama abang tak menghubunginya lama. Ada telefon mak tak? Ibu dah cakap dengan mak, entah sibuk sangat dia. Aku diam. Tadi selepas makan ada tergigit bibir sendiri. Jiwa masih lagi kacau. Kusut belum lagi selesai.

Beliau masih berdiri di depan bilik air. Sedang aku membasuh menguruskan sisa muntah yang melekat di kain lap dan di lantai bilik air. Kelihatan anakku yang lain bangun apabila lampu dinyalakan dan bingit pekikan sang gergasi. Manakala yang bongsu masih terbatuk. Setelah aku membuka pakaiannya. Aku mandikannya di bahagian yang terkena muntah. Aku herdik lagi untuk beliau mengelap badannya serta mengambil baju. Namun beliau masih terpaku. Aku dapat rasakan beliau mula menitiskan air mata. Dengan pantas beliau ke bilik untuk menggantikan pakaian yang lain. Aku masuh di bilik air membersihkannya. Selesai di tandas kusapu semula bekas muntahan di tilam dengan kain basah. Juga mengelap jika terdapat di lantai sepanjang ke tandas.

Aku ke bilik, beliau sudah terbaring sisi. Lalu aku menghampirinya. Tiba-tiba tanpa dipaksa air mata ini bergenang. Hidung juga turut berair. Kuusap kepalanya. Dengan perlahan aku bisik kepadanya. Maafkan ayah. Kemudian kuambil minyak afiat kuusap ke dadanya dan kakinya. Kusapu hingusannya dengan tuala. Kuusap-usap lagi kepalanya. Kutepuk-tepuk belakangnya. Dah tidur.. kataku dengan nada lembut. Aku tak tertahan lagi berderai air mata ini. Lalu kutulis coretan ini dan di kala coretan ini sedang ditulis. Mata masih lagi berkaca. Hati yang bengkak masih belum surut.

Malam tadi, beliaulah yang bantu untuk membetulkan remote control. Dicarinya bateri di dalam laci dan sebagainya. Kedengaran selepas itu beliau mengadu pada ibunya. Remote bateri dah lemah. Aku bersuara dari depan. Remote rosak!! Rosaakk!! Kedengaran pula suara dari belakang pasal remote pun nak marah. Bukan pasal remote atau pasal muntah atau pasal lainnya. Hati terasa pasal layanan dan perhatian. Ditakdirkan pula tetamu hadir. Makin tertusuk dalamnya ia terasa.

Anakku, marah bukan sifat ayah. Ayah kalau boleh tak mahu nak marah-marah. Tapi, luahan kemarahan ayah yang membuak-buak ini tak boleh dibendung macam muntah kamu malam tadi. Bila dah keluar anggaplah ia sesuatu yang sudah tidak